Wednesday, December 16, 2009

Sains Wahana Pemantapan Iman


Saya amat teruja dengan istilah Buccailisme. Ia merupakan satu term yang merujuk kepada golongan yang gemar mencari kesinambungan ayat al-Quran dengan sains seperti mana yang telah diusahakan oleh Professor Dr. Maurice Buccaile .Saya beranggap bahawa penglabelan sebegini membawa kepada intepretasi yang negatif. Ini kerana isme ini sering dikaitkan dengan aktiviti tumpang sekaki yang mana al-Quran menumpang fakta sains.Pendapat ini adalah hasil pemikiran dari tulisan Prof. Shaharir yang disiarkan dalam http://www.majalahsains.com.


Apa yang saya dapat perhatikan Dr. Maurice Buccaile bukanlah individu yang merintis pemadanan fakta sains dengan al-Quran. Ini kerana terdapat sebuah kitab yang berjudul al-Islam Yutahadda karangan Wahid al-Din Khan telah diterbitkan pada kali pertama dalam bahasa Urdu pada tahun 1966. Sedangkan penemuan Dr. Maurice Buccaile hanya diwacanakan selepas pembentangan kertas kerja yang bertajuk “Data Fisiologi dan Embriologi dalam al-Quran” yang diadakan pada 9 November 1976.

Saya lebih cenderung kepada membenarkan adanya sumbangan Dr. Maurice Buccaile dalam ilmu sains al-Quran. Menurut Syeikh al-Zindani, beliau telah diberikan penghormatan oleh kerajaan Mesir untuk membedah mayat firaun. Apa yang menakjubkan adalah beliau mendapati terdapat kandungan garam yang tinggi dalam badan firaun dan tulang belulang firaun remuk dah hancur seakan menerima tekanan yang tinggi. Dari hasil pembedahan beliau, ia membuktikan bahawa cerita firaun yang Allah datangkan dalam al-Quran 1400 tahun dahulu adalah benar dan ia dapat dibuktikan secara saintifik pada masa sekarang. Apa yang menguntungkan, penemuan ini dieksplorasi oleh saintis barat yang tidak beriman dengan Allah. Apabila mereka berdepan dengan fakta sains dan ayat al-Quran, mereka menjadi dungu dan kebingungan umpama ahli sihir firaun tatkala melihat mukjizat Musa a.s.

Sekiranya penemuan sebegini dijumpai oleh saintis Islam, sudah tentu mereka akan dituduh bias kepada agama Islam. Namun begitu ia adalah janji Allah kepada golongan kuffar untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Allah di segenap penjuru alam dan dalam diri manusia itu sendiri, sehinggalah mereka terpaksa mengakui bahawa al-Quran itu adalah Haq.

Namun menjadi persoalan bagi kita apakah pentafsiran kepada sains Islam?Adakah sains Islam ini:

1. teknologi atau penemuan baru yang dihasilkan oleh umat Islam melalui kajian saintifik berdasarkan metodologi yang dirangka oleh saintis muslim?

2. berkaitan dengan kosmologi, metafizik dan falsafah?

3. hasil pembuktian sains yang menambahkan keimanan mukmin kepada Allah?

Sekiranya takrifan itu pada yang pertama, maka saya melihat ia suatu boleh dilihat dalam dimensi pelbagai. Tidak dinafikan umat Islam sekarang hanya menggunakan teknologi serta “menumpang” penemuan saintis barat. Namun begitu, kedatangan Rasulullah yang membawa Islam ke dunia ini tidak terlalu mementingkan kemajuan material serta penemuan baru bagi keselesaan hidup di dunia. Sekiranya ia merupakan salah satu agenda Rasulullah ke dunia ini, sudah pasti Rasulullah akan menghasilkan baka tamar yang bermutu tinggi yang dapat dinikmati oleh umatnya. Atau baka kuda berkualiti yang dapat digunakan dalam peperangan. Saya tidak anti kemajuan, tetapi janganlah kita terasa kecewa bila mana tiada umat Islam yang dapat menghasilkan teknologi yang bersifat material. Kita sering di war-warkan akan zaman kegemilangan Islam adalah di Andalus ketika ledakan ilmu sains memuncak. Sedangkan zaman kegemilangan Islam yang sebenar ialah pada zaman Rasulullah, sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin.

Manakala penemuan baru dalam bidang sains diterokai oleh barat, ia patut dilihat dari sudut positif. Sekiranya ia bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah, maka ia merupakan kemenangan bagi umat Islam. Sudah tentu hasil usaha mereka, tidak akan dinafikan oleh mereka sendiri. Benarlah firman Allah dalam surah Fussilat ayat 53:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Sekiranya definisi sains Islam pada yang kedua, maka ia hanya dapat dinikmati oleh minoriti sahaja.

Jika definisi sains Islam pada yang ketiga, maka itulah yang diperjuangkan oleh ramai ulama dan inteligensia muslim.


Walaupun dunia melihat saintis Islam hanya sebagai pengguna sains barat, namun terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh saintis Islam. Sebagai contoh, saintis Islam di Republik Yaman telah membuat ujikaji terhadap ‘ajbuzzanab (Coccyx) dan rasionalnya arahan Rasulullah agar menyelam lalat bila mana ia jatuh ke dalam minuman.


Saintis UM sendiri membuat kajian berkenaan hikmah solat. Saya amat merindui kajian ilmiah seperti ini dan bukannya sains metafizik yang boleh mengelirukan umat Islam. Saya beranggapan kajian dari UM inilah yang satu-satunya dapat dibanggakan oleh umat Islam kerana ia membenarkan kebenaran Islam. Saya amat-amat mengharap saintis muslim Malaysia akan lebih banyak menjalankan kajian berdasarkan al-Quran dan Sunnah agar sains itu menjadi alat untuk menambahkan keyakinan kita kepada Allah dan Rasul.

Saturday, October 31, 2009

Hasbuna Allah

Sunday, September 06, 2009

Ramadhan Pertama di Yaman 1

Assalamualaikum. Sesekali bernostalgia ada bagusnya juga. Bukan apa, ia hanyalah untuk mengingatkan diri betapa peritnya perjalanan mencari ilmu di bumi iman dan hikmah. Hamparannya tidak semudah untuk dilangkah sewenang-wenang. Tetapi ia memerlukan mujahadah dan istiqamah agar hadaf dapat tercapai walau apa jua mehnah yang mendatang.

Sebagai 'orang baru' yang serba mentah dengan survival hidup di Yaman, berurusan dengan pihak Jawazat (Imigresen) adalah suatu petaka yang mesti dielak. Urusan di sana pada pandangan ku amat tirani jika dibandingkan dengan tanah air sendiri. Namun untuk meneruskan kelangsungan hidup berilmu di Yaman, semua mala dan segenap petaka mesti diharungi. Kalau ada pembaca yang rasa sudah cukup hebat dan "gangster", cuba-cuba lah berurusan di sana.

Pertama kalinya aku ditemani senior untuk membuat urusan. Sempat juga memperoleh beberapa Tauqi' (tandatangan) dari beberapa orang Fendem (pegawai Imigresen). Itu pun mengambil masa tiga hari. Tetapi oleh kerana kasihankan senior ku tadi ditambah pula dengan bulan Ramadhan, aku menyanggupkan diri untuk berseorangan membuat urusan di Jawazat. Ya Allah! Allah Musta'an. Allah sahaja tahu akan kejerihan ku ini.

Menurut seorang Fendem, untuk meneruskan kepada urusan seterusnya aku terpaksa mendapat 'restu' dari seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri Yaman. Bilik puaka yang 'dihuni' oleh pegawai itu terasa seram sejuk tatkala aku menjenguk buat kali pertama. Muka beliau yang tiada garis-garis senyuman, membuatkan jiwa ini amat resah sekali.

Dengan nama Allah aku gagahi diri melangkah ke bilik berhantu itu. Salam penghormatan yang aku hulurkan dibalas dengan seribu kehambaran. Segala dokumen penting aku letakkan di atas meja beliau. Sambil mengerutkan dahi beliau meneliti dokumen aku. Selang beberapa detik beliau menoleh kepada ku. Dengan wajah yang kering beliau berkata, "BUKROO".

BUKROO (esok-esok), kalimah keramat yang selalu dilafazkan oleh beliau kepada mereka yang dahagakan segaris tandatangan hijau beliau.Ke'bukroo'an beliau bergantung kepada keinginan beliau. Seminggu, dua minggu, empat minggu, satu bulan, tiga bulan boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh beliau. Aku di'bukroo'kan oleh beliau selama dua minggu. Allah sahaja yang tahu akan keletihan dan keperitan ini.

Namun setiap perkara ada penghujungnya. Ke'bukroo'an beliau juga bertemu dengan penghabisannya. Bagaimana ianya berakhir? Nantikan pada posting yang akan datang.


Tuesday, September 01, 2009

Ramadhan Kareem

Assalamualaikum. Selamat menjalani ibadah puasa dengan jayanya. Semoga Allah mengampuni kita pada Ramadhan tahun ini. Semoga Allah memberikan keizinan-Nya bersama dengan hamba-hamba-Nya yang soleh, dapat mengecapi nikmat beribadat di Lailatu al-Qadr. Amin Ya Allah.

Banyak perkara telah berlaku sebelum dan semasa Ramadhan yang ada sebahagiannya sedikit sebanyak mencalar emosi dan nurani. Di antaranya adalah penularan wabak H1N1. Ia begitu membimbangkan aku. Amat-amat membimbangkan. Bimbang ia akan terkena pada diri dan juga yang tersayang. Kerunsingan ku ini sehingga melupai terdapat satu kuasa yang lebih hebat dari wabak itu sendiri. Kuasa itu adalah Allah Taala. Selepas itu tatkala hati di rundung kerisauan, hati yang nestapa ini terus rujuk kepada Allah memohon doa perlindungan.

Disamping doa kepada Allah, ikhtiar cara lain turut diamalkan. Antara memakai topeng di khalayak, memakan pil habbatus-sauda' dan membaca doa. Semoga Allah melindungi diri ku ini dan orang-orang tersayang dari sebarang wabak.

Perkara lain yang sentiasa terkenang-kenang adalah pemergian Ustaz Asri Rabbani ke rahmatullah. Terkesima dan sebak tatkala membaca sms kiriman abg, mengkhabarkan akan berita ini. Beliau bukan saudara mara, bukan kenalan dan jauh sekali kalau dikatakan sahabat. Tetapi saya membesar dengan alunan-alunan merdu beliau. Oleh demikian setiap lantunan-lantunan indah beliau dari dahulu hingga sekara terlalu akrab dengan hati ini. Lantaran itu kehilangan beliau amat terasa sekali. Sehingga kini saya asyik terkenangkan beliau. Semoga Allah menempatkan beliau bersama dengan para solehin.

Seterusnya keletihan dan kelesuan belajar dalam bulan puasa. Kelas yang bermula dari 7.45 pagi hingga 2.15 petang tanpa henti menyebabkan tenaga mengalami kedaluwarsa. Otak yang pada mulanya segar mulai susah untuk mencerakin setiap perkataan yang diutarakan oleh para pensyarah. Mujur terdapat juga ruang untuk mentajdid dan me'refresh' sebelum menghadiri kelas GERKO pada sebelah petangnya pula.

Walaupun segala kejerihan yang dihadapi, ianya amat jauh sekali menyamai kejerihan yang dirasai oleh Rasulullah dan para sahabatnya dalam menyebarkan rahmat keseluruh alam. Kepayahan yang dirasai amat kerdil berbanding kerohokan Rasulullah dan para sahabat umpama setitis rona hitam di lautan yang luas. Semoga Allah menerima amalan puasa kita semua.

Friday, July 03, 2009

Penat Banget

Assalamualaikum...Kecapekan menjadikan minda tumpul dan pandangan tidak lagi berkritis. (walaupun aku sendiri tidak dapat memastikan sama ada pandangan ku ini kritis atau tidak, hehehehe...) Mujur ada Zaujatee. Senyuman dan sentuhan beliau berjaya melunturkan segala palitan lelah emosi dan kekejangan fizikal. Kesempatan untuk menarik nafas bagi melegakan diri ini terpaksa dicuri dikecelahan kesibukan. Kekadang kecergasan diri mengalami kedaluwarsa. Namun, mujur ada dua "Qurratul 'Aini" yang mentajdid semangat fizikal dan emosi agar terus menggagahi arus dunia yang "ta'ban".

Thursday, May 21, 2009

Entah lah!

Assalamualaikum. Terasa rajin pula diri ini untuk mengemas kini blog. Mungkin tidak tahu apa yang hendak dilakukan memandangkan Zaujatee pergi berkursus dan Zahratee bersama Tok Ma. Tiba-tiba sahaja idea ini datang.

Semalam saya menerima khabar gembira dari seorang teman, memberitahu kepada saya akan untung nasibnya apabila lamaran beliau diterima oleh pujaan hatinya. Jangan salah sangka! Buah hati yang dimaksudkan ialah syarikat penerbitan buku. Insya-Allah buku sulung beliau berupa sebuah travelog pencarian ilmu akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sebelum kemanisan yang dikecapi beliau pada hari ini, sudah berapa dulang kepahitan yang terpaksa ditelan. Janji-janji manis yang dihamburkan oleh kekasih lama membuat diri beliau terseksa. Pelbagai alasan dan dalih diterima membuatkan beliau terasa berputus asa. Namun selepas berjaya memotivasikan diri, akhirnya beliau bangkit dengan kebengangan itu dan seterusnya berjaya meneguk secicip kemanisan ini.

Pernah dahulu beliau mengadu kepada saya akan hal ini. Tapi aku macam biasa akan bersarkastik dalam memberi pandangan, "Engkau Syed, apa ada? MA? Phd? Kau kerja apa? Pensyarah? Engineer? Doktor? Ustaz cabuk macam kau yang bergaji ciput, yang datang ntah dari mana, nak tulis travelong pasal menuntut ilmu mana lah diorang nak pandang. Lain lah kalau kau tu pelajar engineer yang tulis pasal agama. Fuh! Respek habis diaorang. Ataupun selebriti TV ataupun memiliki MA dan Phd." Syed hanya ber"kerang busuk" terkesima mendengar hamburan saya.

Semangnya begitu manusia. Suka sangat benda yang bombastik. Kalau engkau tak hebat, engkau tidak akan dipandang. Apabila tidak dipandang, susah untuk berurusan dengan manusia. Mungkin manusia yang hebat sahaja yang boleh terselamat di dunia ini. Mungkin betul pandangan Darwin "only the strong survive".

Sememang begitu hakikatnya. Pernah dahulu saya menghadiri bengkel penulisan anjuran syarikat penerbitan buku terkemuka. Saya ditanya oleh penceramah tersebut, "Saudara bertugas di mana?" Saya menjawab, "Saya bertugas di Pasir Putih, Kelantan." Beliau bertanya lagi, "Sebagai apa?" "Guru di sekolah agama rakyat," jawab saya ringkas. "Ooo..." jawab beliau.

Selang beberapa lama, penceramah tersebut bertanya pula kepada peserta yang lain. Apa yang menariknya perserta tersebut adalah seorang pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan dan akan menyambung pengajian keperingkat sarjana. Alangkah bangganya penceramah tersebut apabila mengetahu seorang bakal jurutera datang ke bengkel penulisan buku agama seterusnya mencalonkan beliau sebagai bakal penulis buku ngetop syarikat penerbitan buku tersebut.

Saya bukan dengki sesama manusia. Cuma terasa jengkel melihat dwistandard dalam melayani manusia. Bukan hanya terjadi kepada saya sahaja. Sekiranya saya melihat orang lain menerima nasib yang sama, saya juga terasa bengang dan marah. Mentang-mentanglah kita ini orang kebanyakan dan bukannya orang kenamaan, mereka layan lebih kurang.

Kejadian sebegini lebih ketara jika berada di hospital. Sebahagian jururawat biasanya amat bermuka-muka dalam melayan pesakit. Jika kita datang ke hospital perstatuskan seorang petani, nantilah kamu semua. Tetapi jikalau seseorang itu berstandard tinggi, mereka akan dilayan dengan layanan "A".

Pernah terjadi kepada Zaujatee apabila beliau pergi melakukan pemeriksaan antenatal. Beliau pernah dilayan sedikit kasar oleh jururawat. Tetapi bila mengetahui akan status Zaujatee, terus menukar topeng menjadi manusia yang paling peramah di atas muka bumi ini. Geram betul melihat gelagat jururawat tersebut.

Hakikatnya saya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Lagi pun artikel ini dilabelkan sebagai "sengal-sengal" yang melambangkan kesengalan otak saya. Apa yang pasti persoalan ini selau menghantui fikiran saya. Bila lah agaknya golongan marhaen akan dilayan sama dengan golongan borjuis dan elit.

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang ikhlas mengajar anak didiknya. Tidak ku ketahui sebelum ini akan erti sebuah kejerihan seorang cikgu setelah diri ini sendiri menjadi cikgu. Betapa susahnya untuk menyuruh anak murid menyebut sesuatu perkataan yang diajar melainkan selepas timbul segala urat saraf di leher dan terasa perit anak tekak terlebih dahulu. Oh cikgu! Adakah aku sedemikian di usia begitu? Semuanya itu membuatkan aku selalu bermuhasabah.

Ops...tinggalkan semuanya itu. Biarkan sahaja ianya bermain di benak ku. Zaujatee berkata dengan nada berseloroh, "bestnya jadi cikgu, ada hari guru lagi, doktor takde hari sambutan pun, misi (jururawat) ada pula." Aku tersenyum sahaja. Aku membalas, "alah, cikgu ni sebaris dengan jururawat ja, sama dengan buruh. Doktor lain lah, gaji pun mahal." "Eleh..." balas Zaujatee sambil tersengih.

Aku sendiri keliru mengapa guru memerlukan hari untuk disambut. Tetapi apa yang aku rasai sendiri pada hari tersebut adalah perasaan yang begitu tersentuh apabila murid-murid yang kita cubit, yang kita rotan tiba-tiba menghulurkan hadiah sambil tersengih-sengih. Tidak kurang juga yang datang bergurau senda dengan ku pada hari itu. Aku dapat rasakan keintiman yang kudus ini adalah kurniaan Ilahi yang tiada nilainya. Hubungan ini ku rasakan ada pertalian rohani. Disebalik cubit dan rotan ku tersemat kasih keramat. Bukan ingin berbangga, tetapi itulah yang dirasa. Semoga Allah memberi aku "thabat" dalam arena ini. Semoga aku tidak "futhur" dalam perjuangan memandaikan umat. Semoga Allah memberikan aku keikhlasan dalam menyampaikan ilmu akhirat. Ya Allah! terimalah doa ku.

Dikesempatan ini aku menyertakan beberapa gambar anak didik ku di peringkat Pra dan Tahun 1 yang sempat saya rakam. Biarkan gambar berbicara.